Pelita Brunei
Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Ihsan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Oktober β Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) selaku satu-satunya agensi bukan kerajaan yang berkaitan dengan bidang astronomi di Negara Brunei Darussalam (NBD) memainkan peranan dalam memajukan bidang ini, terutamanya astronomi Islam (Falak Syarie) melalui pelbagai inisiatif dan mempelbagaikan program bagi menarik minat masyarakat.
Antara lain, strategi utama PABD adalah untuk memastikan pendedahan terhadap bidang astronomi dalam kalangan masyarakat di NBD melalui penganjuran cerapan astronomi di peringkat kebangsaan.
PABD didaftarkan secara rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan, Pasukan Polis Diraja Brunei pada 6 Januari 2003 dan sejak ditubuhkan, pelbagai kegiatan dilaksanakan bagi mencapai matlamat utama organisasi, iaitu menggalakkan penyebaran Ilmu Falak dan Astronomi ke dalam masyarakat melalui aktiviti pendidikan di negara ini.
Menurut salah seorang ahli PABD, Awang Mohammad Husaini bin Ali Hassan, aktiviti-aktiviti PABD memfokuskan kepada pencerapan hilal, Gerhana Matahari / Bulan, jejak komet, Astronomy Talk / Theater serta cerapan planet / bintang dan sebagainya.
Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan tambahnya, diadakan di beberapa tempat di negara ini. Sebagai contoh bagi aktiviti Stargazing, PABD akan membuat di tempat yang tidak terdedah kepada cahaya terang, iaitu Light Pollution, seperti di kawasan pedalaman Daerah Tutong dan Temburong.
Manakala bagi cerapan hilal pula ujarnya, PABD dijemput dan bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan dan tertakluk kepada kebenaran dan tempat yang disediakan.
Menurutnya, peraturan dan maklumat terperinci mengenai PABD diterbitkan dalam Perlembagaan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (Perlembagaan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam), semasa mesyuarat anggota PABD sementara pada tahun 2002.
Pada ketika ini ujar beliau, persatuan ini mempunyai pelindung dan lembaga penasihat, serta pentadbiran PABD bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Eksekutif. PABD juga menjalin kerjasama bersama persatuan-persatuan luar negara bukan sahaja di negara-negara ASEAN, malahan juga antarabangsa International Astronomical Union (IAU).
Awang Mohammad Husaini seterusnya berkata bahawa antara objektif penubuhan PABD adalah untuk mempromosikan dan memajukan bidang astronomi, khususnya astronomi Islam (astronomi Syarie) di NBD, selain mendedahkan mengenai isu-isu semasa yang berkaitan dengan astronomi.
Di samping itu, PABD juga boleh memberikan khidmat nasihat atau rundingan dalam bidang astronomi kepada mana-mana individu atau agensi, mengatur dan menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan bidang astronomi dalam kalangan ahli PABD dan aktiviti sukan, sosial, budaya dan kebajikan yang lain serta menyebarkan pengetahuan dan maklumat dalam pelbagai aspek astronomi.
PABD jelasnya, mengumpulkan peminat astronomi dan peminat ruang angkasa di negara ini dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai PABD. Mereka yang berminat boleh mendaftar di Laman Sesawang PABD : ‘www.bruneiastronomy.org’.
Beliau menambah, PABD akan sentiasa mendekatkan masyarakat dan memperkembangkan pengetahuan astronomi ini melalui teknologi pada ketika ini, seperti laman media sosial untuk memperlihatkan kepada masyarakat tentang kegiatan PABD.
Dalam pada itu, PABD juga akan memenuhi permintaan orang ramai untuk membuat aktiviti perkhemahan dan Stargazing, seperti melihat planet / bulan dan bintang.
Sumber Asal Pelita Brunei: http://www.pelitabrunei.gov.bn/Lists/Berita%202018/NewDisplayForm.aspx?ID=29434