Terkini (22 April 2020) – Komet Atlas yang pada mulanya menjadi sangat terang setelah baru 4 bulan ditemui kini telah hancur berkecai. Itulah sifat komet yang sukar untuk diramalkan, jadi ia tidak mengejutkan bahawa komet itu berpecah. Komet tersebut telah menjadi serpihan yang lebih kecil sehingga ia menjadi mustahil untuk melihatnya.

Terdahulu: Lintasan Komet ATLAS Bakal Menghiasi Ramadan 1441H
Bandar Seri Begawan – Fenomena langit yang dihiasi dengan sebutir โbintang berekorโ atau komet akan berlaku dalam bulan Ramadan tahun ini. Komet ATLAS (C/2019 Y4) pada saat ini sedang bergerak melintasi alam semesta dan dalam perjalanan mendekati Matahari serta sangat terang untuk dilihat dari Bumi.

Komet ini pertama kali ditemui oleh sekumpulan ahli astronomi daripada Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) di Hawaii pada 28 Disember 2019.
Pada dasarnya, komet adalah gumpalan bola ais yang mengandungi debu. Ketika mendekati Matahari, panasnya akan mengakibatkan lapisan ais tersebut mengewap serta mengeluarkan gas. Proses inilah yang menghasilkan koma atmosfera yang berwarna dan juga ekor komet yang memanjang.

Secara visual, objek astronomi C/2019 Y4 (ATLAS) ini akan semakin cerah apabila mencapai jarak terdekat dengan Bumi (perihelion) pada 23 Mei 2020 iaitu sejauh 116,859,502 km dari Bumi; dan masa yang terbaik untuk mencerapnya adalah antara 7 hingga 14 hari sebelum dan selepas tarikh perihelion.
Dalam masa terdekat, objek ini boleh diamati dengan teleskop bersaiz kecil mahupun binokular sepanjang April dan berada dalam buruj Camelopardalis. Ia dijangka boleh dilihat dengan mata kasar sepanjang Mei dan terletak pada buruj Perseus selepas Maghrib (Lihat hasil cerapan komet oleh PABD pada Mac di sini). Setelah melepasi titik terdekat dengan bumi, komet ini akan muncul sebelum matahari terbit semasa Aidilfitri iaitu di sepanjang bulan Jun nanti. Ia akan bergerak semakin berada jauh dari bumi dan bergerak keluar sistem suria yang menyebabkan tahap kecerahan semakin berkurangan.
Kewujudan komet ini sekarang adalah masih awal untuk meramalkan nilai kecerahan sebenarnya. Ini kerana sifat komet lazimnya sangat kompleks dan mudah berubah, yang mana jasadnya mampu sahaja hancur dan menghilang kecerahannya dengan tiba-tiba apabila mendekati matahari. Dan bila-bila sahaja jua kecerahannya boleh memuncak di luar dari jangkaan. Namun pada masa ini, kebanyakan para pemerhati komet ini menjangkakan kecerahan yang sangat terang untuk dicerap dengan mata kasar dan mungkin sebanding dengan planet Zuhrah (Venus) nanti.

Ikuti perkembangan dan perbincangan mengenai komet ini melalui Telegram channel t.me/bruneiastronomy atau WhatsApp www.bruneiastronomy.org/wa
Ephemeris bagi Komet C/2019 Y4 (ATLAS) bagi bulan April hingga Jun 2020 untuk Brunei Darussalam:

