
Kota Kinabalu – Seramai 3 orang ahli Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) mengadakan program lawatan ke balai cerap Al-Biruni Negeri Sabah pada petang Sabtu, 25 Januari 2020.
Kedatangan peserta program lawatan tersebut telah disambut oleh Yang Berbahagia Sohibus Samahah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Mufti Negeri Sabah. Program lawatan telah memuatkan sesi taklimat ringkas mengenai pengenalan dan kemajuan balai cerap Al-Biruni yang terletak di Tanjung Dumpil, Putatan oleh Jabatan Mufti Negeri Sabah

Rombongan program lawatan selama sehari tersebut diketuai oleh Setiausaha Agung PABD, Awang Hazarry bin Hj Ali Ahmad. Ahli rombongan PABD, Abdul Waliyuddin bin Yahya, juga diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan pada acara tersebut sebagai wakil peserta.
“Melihat kepada kedudukan geografi dan sudut sejarah, Bahasa dan kebudayaan, Brunei Darussalam dan Malaysia berkongsi banyak persamaan. Walaupun begitu, Negeri Sabah sangat berpotensi besar dalam memperkembangkan bidang astronomi dengan adanya kemudahan balai-balai cerap untuk dimanfaatkan dan banyak kawasan Dark Sky (langit gelap) untuk mencerap cakerawala” kata Abdul Waliyuddin.

Peserta rombongan juga menzahirkan rasa bersyukur dan harapan untuk menyertai aktiviti di masa akan datang, “Saya berharap ahli-ahli Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam yang hadir akan dapat mencontohi dan menimba pengalaman daripada kejayaan pihak Yang Berbahagia Datuk dengan penganjuran lebih banyak lagi aktiviti astronomi masyarakat dan pendedahan bidang falak melalui majlis-majlis ilmu di masa akan datang.”
Yang Berbahagia Sohibus Samahah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar, Mufti Negeri Sabah juga telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada peserta lawatan.

Pembinaan balai cerap Al-Biruni berperanan sebagai pemangkin pusat pendidikan, penyelidikan dan sektor pelancongan di samping untuk menjana pengembangan ilmu falak dan astronomi khususnya di negeri Sabah, Malaysia.

Kompleks tersebut dibina di atas tapak rasmi Melihat Anak Bulan bagi Negeri Sabah seluas 7.76 hektar yang telahpun diwartakan pada 28 Zulkaedah 1427H bersamaan 19 Oktober 2006M. Sebelumnya, cerapan anak bulan dilaksanakan di Masjid Al-Hilal berdekatan dengan tapak balai cerap berkenan.


Orientasi bangunan Al-Biruni menghadap ufuk barat ke arah Laut Cina Selatan menjadikan ia sebagai lokasi yang strategik bagi aktiviti cerapan anak bulan (hilal). Nama balai cerap berkenaan diambil sempena nama ahli falak yang terkemuka Abu Raihan Muhammad bin Ahmad Al-Biruni.
Selain aktiviti melihat anak bulan, balai cerap ini juga menjadi venue bagi mengadakan kursus ilmu falak, sesi latihan astronomi, cerapan gerhana dan objek samawi serta perbincangan astronomi bagi profesional dan amatur.
Melalui program lawatan tersebut, PABD juga turut mengadakan cerapan Hilal Jamadilakhir 1441H di Balai Cerap berkenan bersama-sama Jabatan Mufti Negeri Sabah dan Sabah Stargazers. Hilal yang berumur 12 jam telah tidak berhasil dicerap kerana keadaan yang berawan di atas ufuk barat.
Program tersebut juga diharap dapat mengerat dan memperkukuhkan lagi hubungan persaudaran dan merasa nikmat ukhwah yang akrab dan mesra di antara Negeri Sabah dan Negara Brunei Darussalam yang sudah sekian lama wujud.

Pada sebelah malam, ahli -ahli PABD juga berkesempatan untuk melawat Balai Cerap Sabah Stargazers di Papar. Kehadiran para pelawat ke balai cerap berkenaan telahpun disambut oleh Cik Emma Zulaiha Zulkifli, Pengarah Program Sabah Stargaze. Balai cerap ini dilengkapi dengan teleskop SkyWatcher Quattro 8″ Newtonian f/4 yang sesuai untuk menangkap gambar cakerawala seperti Nebula dan gugusan bintang. Rombongan juga berkesempatan menggunakan peralatan astrofotografi yang terdapat di balai cerap tersebut untuk merakam Horsehead Nebula.
