Siaran Akhbar: Undian Awam dibuka bagi Name Exoworlds Brunei Darussalam mulai 13 Oktober hingga 13 November 2019

Bandar Seri Begawan – Perlaksanaan program menamakan Bintang dan Exoplanet (Name Exoworlds) Brunei Darussalam anjuran Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam selaku International Astronomical Union (IAU) National Outreach Coordinator yang sedang dijalankan telah mencapai ke peringkat kemuncaknya.

Yang Mulia Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, Naib Yang Di-Pertua Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam

Sejak pelancarannya pada Ogos 2019, inisiatif berkenaan telah berjaya menerima sebanyak 242 cadangan nama bagi Bintang Induk HD 179949 bersama Exoplanet HD 179949b. Keseluruhan cadangan nama adalah daripada 211 orang peserta yang terdiri daripada individu perseorangan, wakil-wakil pelajar daripada institusi-institusi pendidikan, wakil organisasi kerajaan serta agensi bukan kerajaan di negara ini.

“Penyertaan yang amat menggalakkan ini telah mencerminkan wujudnya usaha dan kesedaran yang ketara dari kalangan masyarakat dan pelbagai pihak dalam mengembangkan dan memajukan bidang astronomi di negara Brunei Darussalam.” kata YM Hj Abdul Aziz bin Hj Akob, Naib Yang Di-Pertua Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam, semasa ucapan pelancaran Sempena Pembukaan Undian Awam bagi Name Exoworlds Brunei Darussalam pada 13 Safar 1440 bersamaan 12 Oktober 2019.

Pemilihan cadangan nama bintang bersama planetnya bagi Brunei Darussalam telahpun disempurnakan semasa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja yang bersidang pada 12 Safar 1441H bersamaan 11 Oktober 2019 bagi menyenaraipendek cadangan nama berkenaan. Mesyuarat tersebut telah dipimpin oleh Dr Hj Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Hj Ahmad, Timbalan Setiausaha II Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam selaku Ketua Hakim. Kesemua cadangan telah dinilai akan kesesuaiannya bagi memastikan nama tersebut adalah mengikut garispandu bagi pengiktirafan penamaan objek astronomi yang telah ditetapkan oleh Badan Kesatuan Astronomi Antarabangsa (IAU) serta patuh pada syarat-syarat penyertaan.

Hasil sesi mesyuarat tersebut telahpun menetapkan senarai pendek sebanyak 10 cadangan nama bintang Induk (HD 179949) serta Exoplanet (HD 179949 b) bagi pemilihan umum seperti berikut:

Senarai pendek Nama bintang Induk Nama Exoplanet
Exoworlds 1 Arik Rinut
Exoworlds 2 Arkat Kandila
Exoworlds 3 Ginis Cikar
Exoworlds 4 Gumala Mastika
Exoworlds 5 Kalapmalip Diyan
Exoworlds 6 Lantira Kulimpapat
Exoworlds 7 Maya Berawa
Exoworlds 8 Nulus Liun
Exoworlds 9 Semaun Sangkuna
Exoworlds 10 Surapit Petabu

Program tersebut akan memberikan peluang kepada orang ramai untuk memilih nama bintang dan planet tersebut yang sesuai untuk negara Brunei. Undian secara atas talian (online) melalui www.bruneiastronomy.org/NameExoWorlds akan mula dibukakan bermula 13 Oktober 2019 sehingga 13 November 2019. Nama-nama yang mendapat undian tertinggi itu nanti adalah layak untuk dicadang kepada IAU Office for Outreach bagi pengiktirafan di peringkat antarabangsa sebagai nama umum yang kekal serta menjadi kebanggaan orang Brunei.

“Dengan kalimah Bismillahir Rahmannir Rahim, Selawat  serta  salam  ke atas  junjungan  besar  kita Nabi  Muhammad  Sallahu  Alaihi  Wassalam  serta bertawakal  kepada  Allah  Subhanahu  Wata’ala saya dengan ini  melancarkan Pembukaan Undian Awam bagi Name Exoworlds Negara Brunei Darussalam bermula esok, Ahad, 14 Safar 1441 bersamaan 13 Oktober 2019”, ucap YM Hj Abdul Aziz bin Hj Akob lagi yang mana pelancaran tersebut telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook persatuan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.