BruneiAstronomy
Astronomy & Falak Syarie in Brunei Darussalam

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 Ogos. – Kesatuan Astronomi Antarabangsa (International Astronomical Union – IAU) menganugerahkan Negara Brunei Darussalam sebuah planet dan sebutir bintang induknya pada 2 Ogos 2019 untuk diberikan nama yang sesuai oleh rakyat negara ini.

Pihak IAU memperuntukkan sebuah planet dan bintangnya kepada setiap negara di dunia untuk dinamakan.

Brunei Darussalam turut diberikan sebutir bintang HD 179949 dan sebuah planet gergasi bergas (exoplanet HD 179949b) yang terletak dalam buruj Sagittarius untuk dinamakan.

Exoplanet adalah planet yang mengelilingi bintang lain di luar sistem suria. Setakat ini, sebanyak 4,000 exoplanet berjaya ditemui dan kebanyakannya belum diberikan nama yang sesuai.

Buat julung kalinya, Program Name Exoworld Brunei Darussalam telah dilancarkan pada 4 Ogos 2019 oleh Yang Di-Pertua Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD), Awang Haji Mahadi bin Haji Md. Tahir semasa Pengumuman Khas persatuan berkenaan yang disiarkan langsung di dalam talian (online) melalui laman Facebook persatuan berkenaan.

Kempen peringkat kebangsaan itu dianjurkan oleh Persatuan PABD selaku IAU National Outreach Coordinator dengan sokongan pihak-pihak tertentu untuk memberikan peluang kepada rakyat juga penduduk negara ini untuk menamakan bintang dan planet tersebut bermula Ogos ini.

Yang Di-Pertua PABD, Awang Haji Mahadi dalam ucapan pelancaran program tersebut berkata program global itu akan memberikan peluang orang Brunei untuk menamakan bintang dan planet tersebut, yang mana cadangan nama yang terpilih nanti akan diabadikan untuk generasi di negara ini yang akan datang.

Program Menamakan Bintang dan Exoplanet (Name Exoworlds) merupakan inisiatif global sempena Sambutan 100 Tahun Kesatuan IAU.

Syarat-syarat bagi mencadangkan nama bintang dan planet tersebut berserta maklumat program NameExoWorlds boleh dicapai dengan melayari laman sesawang ‘www.bruneiastronomy.org/NameExoWorlds’.

Penyertaan bagi program itu adalah dibukakan kepada orang ramai di negara ini, akan bermula pada 10 Ogos hingga 10 Oktober 2019.

Cadangan-cadangan nama planet dan bintangnya akan dipilih secara undian secara dalam talian oleh orang ramai.

Nama yang mempunyai undian tertinggi oleh negara ini akan dimaklumkan terus kepada pihak IAU untuk penelitian terhadap cadangan tersebut, di mana keputusan nama planet dan bintang tersebut akan dimaklumkan secara rasmi daripada IAU pada Disember tahun ini.

Sumber: Pelita Brunei

One thought on “Brunei berpeluang menamakan planet, bintang”

Leave a Reply to Muhammad Rosmadini Hj Mohd Yusof Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.