Teks Ucapan Yang Dipertua, Yang Mulia Haji Mahadi bin Haji Tahir,
pada Majlis Orientasi Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam 2025
Hari Jumaat, 08 Jamadilakhir 1447H bersamaan 28 November 2025
D’Venue.Co, Batu Bersurat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera kepada semua yang hadir.
Terlebih dahulu, saya ucapkan selamat datang kepada bakal ahli-ahli baharu.
Alhamdulillah, pada hari yang penuh berkat ini, kita berhimpun dalam majlis orientasi yang bukan sahaja memperkenalkan persatuan, tetapi juga menyemai semangat kekitaan dan inspirasi dalam kalangan ahli baharu dan lama.
Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) ini lahir daripada impian kecil yang besar maknanya. 23 tahun yang lalu, sekitar tahun 2002, hanya berbelasan orang peminat astronomi yang berkumpul secara sukarela, berkongsi ilmu dengan minat terhadap langit malam. Dari pertemuan santai di tempat letak kereta dan memasang teleskop di kawasan-kawasan lapang untuk melihat anak bulan dan planet, lahirlah satu gerakan yang kini telah berkembang menjadi sebuah persatuan rasmi yang berdiri megah dengan perlembagaan, diiktiraf dan disegani di mata masyarakat.
Kini, keahlian kitani telah berkembang melebihi seratus orang dari pelbagai latar belakang -ada pelajar, guru, jurutera, doktor, ibu bapa – semua peminat ilmu falak astronomi. PABD bukan sekadar pertubuhan – ia adalah menjadi lambang bukti hasil kerja semangat perpaduan tinggi dengan minat yang tulus, dipupuk dengan komitmen yang teguh, mampu melahirkan sesuatu yang luar biasa dan bermakna.
Sepanjang perjalanan ini, ahli-ahli PABD sentiasa mendekatkan astronomi kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif. Antaranya termasuk cerapan umum fenomena langit, bengkel falak, ceramah astronomi, serta kolaborasi bersama institusi tempatan dan antarabangsa. Kita bukan sahaja menyebarkan ilmu astronomi, tetapi juga mengangkat warisan falak Melayu Brunei-Islam yang kaya dengan hikmah dan sejarah.
Majlis orientasi ini bertujuan untuk memperkenalkan struktur persatuan, etika berorganisasi, dan peluang-peluang yang tersedia kepada ahli baharu. Ia juga menjadi medan untuk membina jaringan (networking), berkongsi aspirasi, dan memahami peranan kita sebagai ahli yang sentiasa proaktif dan bertanggungjawab, serta sentiasa menjaga nama baik PABD.
Dalam berpersatuan, kita pegang teguh pada prinsip keikhlasan dan komitmen. Kita bukan berjuang untuk nama, tetapi untuk manfaat bersama. Setiap sumbangan – besar mahupun kecil, pengorbanan masa mahupun wang ringgit – kita niatkan sebagai sedekah ilmu lillahi ta‘ala, tanpa mengharap balasan. Saya mengharapkan ahli-ahli lama bersedia menjadi mentor kepada ahli-ahli baru, dengan memberikan sokongan yang berterusan, bimbingan ilmu secara praktikal, dan perkongsian pengalaman yang bermakna.
Harapan kami adalah agar setiap ahli, khususnya yang baru menyertai, dapat merasai semangat kekeluargaan dalam berpersatuan dengan mengutamankan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain, serta bersedia untuk menimba ilmu secara aktif. Semoga kita terus berkembang sebagai komuniti yang bukan sahaja mencintai ilmu bintang, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan negara melalui pendidikan, penyelidikan, dan pemerkasaan generasi muda.
Saya percaya bahawa ahli-ahli baru yang berada di sini adalah generasi yang bukan sahaja mencintai ilmu astronomi, tetapi juga bersedia untuk berbakti, menyumbang dan memimpin PABD dengan nilai murni.
Akhir kata, terimalah dua rangkap pantun dari saya:
Bintang bersinar di langit tinggi,
Menjadi petunjuk pelayar zaman,
Ilmu falak bukan sekadar hobi,
Tapi jambatan ilmu menuju keimanan.
Bintang tinggi tak tercapai,
Namun sinarnya jadi pedoman,
Teruskan usaha, jangan lalai,
Demi ilmu dan masa hadapan.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
