PABD Constitution

PERLEMBAGAAN PERSATUAN ASTRONOMI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
(CONSTITUTION OF THE ASTRONOMICAL SOCIETY OF NEGARA BRUNEI DARUSSALAM)

21 Safar 1426 / 1 April 2005

Fasal

I: Nama, Alamat Berdaftar dan Tempat Mesyuarat
II: Jenis Persatuan
III: Penaung
IV: Logo Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam
V: Objektif
VI: Keahlian
VII: Bayaran Pendaftaran dan Lain-lain Bayaran
VIII: Pemberhentian
IX: Mesyuarat Agung
X: Mesyuarat Agung Khas
XI: Pengundian
XII: Jawatankuasa Eksekutif
XIII: Tugas Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif
XIV: Pembentukan Jawatankuasa Kecil dan Jawatankuasa Sementara
XV: Kewangan
XVI: Kegiatan/Rancangan/Projek
XVII: Larangan
XVIII: Lucut Hak
XIX: Pindaan Perlembagaan
XX: Pembubaran


FASAL I

Nama, Alamat Berdaftar dan Tempat Mesyuarat

1. Persatuan ini dinamakan PERSATUAN ASTRONOMI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM dan singkatannya dikenali dengan nama PABD.

2. Alamat pejabat yang didaftarkan ialah:

Unit Astronomi
Bahagian Kawal
Jabatan Ukur
Kementerian Pembangunan
Bandar Seri Begawan BB3510
Brunei Darussalam

3. Alamat pendaftaran PABD tidak boleh diubah tanpa kebenaran oleh Pendaftar Persatuan Negara Brunei terlebih dahulu.

4. Tempat mesyuarat PABD ialah di tempat yang akan ditetapkan dari masa ke semasa oleh Jawatankuasa Eksekutif.


FASAL II

Jenis Persatuan

1. PERSATUAN ASTRONOMI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM, PABD, adalah satu persatuan bebas dan persatuan Bukan Kerajaan dan persatuan ini didedikasi kepada masyarakat dan bidang sains astronomi.


FASAL III

Penaung

1. Ketua Hakim Syarie adalah penaung PABD.

Penasihat-Penasihat

1. Penasihat-penasihat persatuan ini adalah terdiri dari :

i. Hakim Mahkamah Tinggi Syarie
ii. Juruukur Agung
iii. Naib Chancelor UBD


FASAL IV

Logo Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam

1. Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam mempunyai satu logo:

Logo

2. Makna logo Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam adalah seperti berikut:

a. Warna kuning:
i. Menjunjung kedaulatan Negara Brunei Darussalam.
ii. Persatuan ini ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam.

b. Warna hijau:
a)  Lambang keIslaman.

c. Warna biru gelap:
a)  Lambang keindahan langit dan alam semesta.

d. Bentuk kubah balai cerap:
i. Lambang astronomi.

e. Bulan sabit:
i. Sukatan tarikh (masa) dalam tahun Hijrah dan penerang gelap malam.
ii. Falak Syarie, ilmu astronomi terpenting dalam Islam.

f. Bintang:
i. Petunjuk arah diwaktu malam.
ii. Memberi maklumat dan nasihat kepada orang ramai.

g. Teleskop emas:
i. Alat bantu sains astronomi.
ii. Berilmu (dalam sains astronomi).

h. Huruf PABD:
i. Singkatan Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam.
ii. Persatuan yang mempunyai peraturan dan matlamat yang tersendiri.

i. Corak air mulih:
i. Seni keBruneian.
ii. Berperibadian keBruneian.


FASAL V

Objektif

1. Objektif Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam, PABD, adalah seperti berikut:

(i) Menggalakkan dan memajukan bidang astronomi terutamanya astronomi Islam (falak syarie) di Negara Brunei Darussalam.

(ii) Penyalur maklumat tentang isu semasa yang berkaitan dengan astronomi.

(iii) Memberi nasihat dan/atau rundingan dalam bidang astronomi kepada mana-mana individu dan/atau agensi-agensi.

(iv) Menganjur dan menjalankan aktiviti-aktiviti khususnya yang berkaitan dalam bidang astronomi dikalangan ahli-ahli Persatuaan PABD; dan lain-lain aktiviti sukan, sosial, kebudayaan, kesusasteraan dan kebajikan.

(v) Menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti PABD.

(vi) Mewujud dan memupukan semangat persaudaraan dan kekeluargaan dikalangan warga/ahli PABD.

(vii) Menjalin hubungan kerjasama dengan Kelab-kelab dan Persatuan-persatuan berdaftar yang lain melalui aktiviti-aktiviti PABD.

(viii) Menyebarkan ilmu pengetahuan serta maklumat dalam kepelbagaian aspek astronomi.

(ix) Menerima sumbangan/bantuan yang diberikan oleh Kerajaan dan dari mana-mana organisasi bukan Kerajaan dan biasiswa untuk kegunaan bagi mencapai objektif Persatuan.


FASAL VI

Keahlian

1. Keanggotaan PABD adalah terbuka kepada penduduk Negara Brunei Darussalam.

2. Ahli-ahli PABD ini terbahagi kepada 4:

(i) Ahli Biasa (Ordinary) – Terbuka kepada orang ramai yang berumur 18 tahun ke atas. Ahli Biasa berhak mengambil bahagian di dalam semua aktiviti PABD, bersuara dalam Mesyuarat Agung, mencadang, mengundi dan layak dicalonkan untuk memegang jawatan dalam PABD.

(ii) Ahli Pelajar (Student) – Terbuka kepada penuntut-penuntut yang masih menuntut dan menjalankan kursus di mana-mana institusi-institusi pendidikan rendah atau menengah di Negara Brunei Darussalam yang berumur 18 tahun ke bawah sewaktu mengemukakan permohonan. Ahli-ahli Pelajar dengan sendirinya menjadi ahli biasa apabila mencapai umur 18 tahun. Ahli Pelajar berhak mengambil bahagian di dalam semua aktiviti PABD, dan bersuara dalam Mesyuarat Agung, tetapi TIDAK BERHAK mencadang mengundi atau memegang jawatan dalam PABD.

(iii) Ahli Korporat (Corporate) – Terbuka kepada organisasi, pertubuhan dan syarikat persendirian atau awam. Ahli Korporat berhak mengambil bahagian dalam semua aktiviti PABD dan bersuara dalam Mesyuarat Agung, tetapi TIDAK BERHAK mencadang, mengundi atau memegang sebarang jawatan dalam PABD.

(iv) Ahli Kehormat (Honorary) – Terbuka kepada mereka yang terkenal dan/atau pakar dalam bidang astronomi dan/atau bidang yang berkait atau memegang jawatan yang paling tertinggi di dalam mana-mana intitusi-institusi Kerajaan atau Bukan Kerajaan di Negara Brunei Darussalam. Ahli Kehormat adalah digalakkan memegang sebarang jawatan dalam PABD dan berhak mengambil bahagian dalam semua aktiviti PABD, bersuara dalam Mesyuarat Agung, mencadang, mengundi dan layak dicalonkan untuk memegang jawatan dalam PABD. Ahli Kehormat adalah dikecualikan dari membayar Yuran Tahunan.

3. Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah diisi dalam satu borang khas seperti didalam Lampiran B dan dihantar kepada Setiausaha Agung PABD dan hendaklah mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa Eksekutif untuk diluluskan.

4. Jawatankuasa Eksekutif PABD boleh, mengikut budi bicaranya, menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebabnya.

5. Setiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut diatas hendaklah, setelah menjelaskan bayaran pendaftaran, diterima menjadi ahli PABD.


FASAL VII

Bayaran Pendaftaran dan Lain-lain Bayaran

1. Bayaran Pendaftaran dan Yuran Tahunan adalah seperti berikut:

Keahlian Bayaran Pendaftaran Yuran Tahunan
(a) Biasa B$30/- B$45/- setiap tahun
(b) Pelajar B$10/- B$10/- setiap tahun
(c) Korporat Ditentukan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif PABD Ditentukan oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif PABD
(d) Kehormat B$50/- Dikecualikan

2. Yuran tahunan untuk Ahli Biasa, Ahli Pelajar dan Ahli Korporat hendaklah dibayar sebelum akhir bulan Januari tahun berikutnya.

3. Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih dari 3 (tiga) bulan dari tarikh pembayaran akan menerima surat ingatan yang ditandatangan oleh Setiausaha Agung PABD, dan hilang semua haknya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dibayar.

4. Ahli yang membiarkan hutang yurannya lebih dari 4 (empat) bulan tanpa alasan yang munasabah dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli PABD, dan Jawatankuasa Eksekutif boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya, dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu, telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

5. Jawatankuasa Eksekutif mempunyai kuasa menetapkan yuran pendaftaran semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

6. Yuran-yuran atau kutipan wang secara sukarela untuk sesuatu tujuan tertentu boleh dipungut daripada ahli-ahli atau mana-mana pihak dengan persetujuan Jawatankuasa Eksekutif.


FASAL VIII

Pemberhentian

1. Ahli yang hendak berhenti dan keluar daripada menjadi Ahli PABD hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha PABD.


FASAL IX

Mesyuarat Agung

1. Mesyuarat Agung hendaklah diadakan setiap 2 tahun tidak lewat dari 3 bulan selepas akhir tahun kedua (31hb Disember setiap tahun kedua). Jawatankuasa Eksekutif akan menetapkan tarikh, masa dan tempat mesyuarat yang akan diadakan.

2. Pengumuman mengenai tarikh, masa dan tempat diadakan Mesyuarat Agung serta Agenda, Laporan tahunan dan Penyata Kewangan hendaklah dikirimkan oleh Setiausaha kepada tiap-tiap ahli tidak lewat daripada 14 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

3. Pencalonan-pencalonan untuk ahli-ahli jawatankuasa Eksekutif dan cadangan-cadangan serta usul-usul untuk dirundingkan dalam Mesyuarat Agung hendaklah diberitahu secara bertulis kepada Setiausaha Agung PABD tidak lewat daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat itu.

4. Bilangan ahli yang mesti hadir hendaklah tidak kurang daripada satu pertiga (1/3) daripada jumlah ahli Persatuan.

5. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh yang lain (tidak lebih daripada 14 hari dari tarikh asalnya) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Eksekutif. Jikapun korum tidak juga cukup selepas setangah jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa mengubah undang-undang PABD dan membuat keputusan-keputusan mengenai semua ahli.

6. Mesyuarat Agung akan membincangkan mint Mesyuarat Agung yang lepas dan Laporan tahunan Jawatankuasa Eksekutif, menerima Laporan Bendahari Agung, melantik ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif, menambah atau membatalkan Undang-Undang PABD serta menerima dan membincangkan usul-usul mengenai PABD.


FASAL X

Mesyuarat Agung Khas

1. Mesyuarat Agung Khas bagi PABD ini boleh diadakan:

(a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Eksekutif tanpa bantahan dua pertiga (2/3) daripada ahli PABD.
ATAU
(b) Atas permintaan tidak kurang daripada dua pertiga ahli-ahli PABD secara bertulis dengan menjelaskan tujuan mereka untuk mengadakannya

2. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh dalam tempoh sebulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

3. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh yang ditetapkan untuk bermesyuarat.

4. Fasal IX (4) dan (5) berkenaan korum akan digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas ini, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang ditetapkan, maka Mesyuarat Agung Khas ini akan dibatalkan dan Mesyuarat Agung Khas atas perkara yang sama tidak boleh diadakan melainkan selepas dua (2) bulan daripada tarikh yang ditetapkan.


FASAL XI

Pengundian

1. Semua Ahli Biasa & Kehormat PABD berhak mengundi dan tiap-tiap seorang mempunyai satu undi sahaja. Pengundian ini boleh dibuat secara mengangkat tangan atau dengan undi sulit.

2. Jika keputusan pengundian (selain pemilihan) didapati sama, maka Yang Dipertua PABD mempunyai undi pemutus selain daripada undinya sendiri sebagai Ahli Biasa PABD.


FASAL XII

Jawatankuasa Eksekutif

1. Pengurusan PABD adalah dipertanggungjawabkan kepada satu Jawatankuasa Eksekutif seperti berikut yang dipilih dalam Mesyuarat Agung:

(a) Yang Dipertua
(b) Naib Yang Dipertua
(c) Setiausaha Agung
(d) Timbalan Setiausaha I
(e) Timbalan Setiausaha II
(f) Bendahari Agung
(g) Lima (5) ahli Jawatan Eksekutif Biasa yang lain

2. Nama-nama untuk jawatan tersebut di atas hendaklah dicadangkan, disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung. Semua pemegang jawatan BOLEH dipilih semula setiap 2 (dua) tahun sekali.

3. Tugas-tugas Jawatankuasa Eksekutif PABD ialah untuk mengatur dan mengelola aktiviti-aktiviti harian PABD serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan PABD dengan tidak bertentangan dengan undang-undang dan dasar-dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa Eksekutif seharusnya tidak boleh membuat tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung.

4. Jawatankuasa Eksekutif boleh melantik 2 (dua) orang sebagai pemeriksa kira-kira.

5. Jawatankuasa Eksekutif hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 4 (empat) kali setahun dan notis bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli dalam masa 7 hari sebelumnya.

6. Yang Dipertua, dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 3 (tiga) orang ahli Jawatankuasa Eksekutif bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya (1/2) setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa Eksekutif mestilah hadir untuk mencukupkan bilangan ahli mesyuarat dan mengesahkan mesyuarat.

7. Sekiranya timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa Eksekutif dan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif tidak dapat diadakan, maka bolehlah Setiausaha Agung mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Eksekutif melalui surat pekeliling atau lain-lain cara yang bersesuaian.

8. Keputusan Jawatankuasa Eksekutif boleh dianggap sebagai telah diterima dengan syarat:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang dalam surat pekeliling atau lain-lain cara yang bersesuaian yang dihantar kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Eksekutif.
(b) Persetujuan atau bantahan kepada sesuatu cadangan mestilah didapati dari sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa Eksekutif.
(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

9. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling atau lain-lain cara yang bersesuaian hendaklah dilaporkan dan dicatatkan kemudian dalam peringatan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif oleh Setiausaha Agung.

10. Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang tidak menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan dalam Jawatankuasa Eksekutif.

11. Jika seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif meninggal dunia atau meletakkan jawatan, Jawatankuasa Eksekutif berkuasa melantik lain ahli PABD untuk memenuhkan kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung diadakan. Kekosongan jawatan yang Dipertua hanya boleh dipenuhi oleh Naibnya dan Setiausaha Agung. Kekosongan jawatan-jawatan lain adalah mengikut budi bicara Jawatankuasa Eksekutif menentukannya.

12. Jawatankuasa Eksekutif boleh mengarah Setiausaha Agung atau lain-lain pemegang jawatan untuk menjalankan hal-ehwal PABD.

13. Keputusan Jawatankuasa Eksekutif adalah muktamad dan mesti dipatuhi oleh kesemua ahli PABD kecuali sehingga dipinda oleh keputusan Mesyuarat Agung.

14. Semua ahli Jawatankuasa Eksekutif yang menjalankan tugas-tugas pentadbiran dalam Persatuan ini, hendaklah warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam.


FASAL XIII

Tugas Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif

1. Adapun tugas yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Eksekutif ialah:

(a) Yang Dipertua – Yang Dipertua hendaklah mempengerusikan semua Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani minit-minit mesyuarat bila telah diluluskan dan semua cek PABD bersama-sama dengan Bendahari Agung.

(b) Naib Yang Dipertua – Naib Yang Dipertua hendaklah membantu Yang Dipertua menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan beliau semasa ketiadaannya.

(c) Setiausaha Agung – Setiausaha Agung bertanggungjawab bagi:

(i) Menghantar notis dan menyediakan minit-minit semua Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif
(ii) Semua surat menyurat bagi pihak PABD.
(iii) Menyimpan senarai daftar ahli-ahli PABD dan menghantar notis pembayaran segala yuran.
(iv) Menyimpan semua rekod dan laporan PABD, kecuali kira-kira dan buku-buku kewangan.
(v) Menyediakan Penyata Tahunan dan mengemukakan drafnya kepada Jawatankuasa Eksekutif tidak lewat dari 14 hari sebelum tiap-tiap Mesyuarat Agung.
(vi) Menjalankan semua arahan Jawatankuasa Eksekutif.

(d) Timbalan Setiausaha I – Membantu Setiausaha Agung dalam menjalankan tugas-tugas beliau dan memangku jawatankuasa Setiausaha Agung semasa ketiadaannya.

(e) Timbalan Setiausaha II – Membantu Setiausaha Agung dalam menjalankan tugas-tugas beliau dan bekerjasama dengan Timbalan Setiausaha I

(f) Bendahari Agung – Bendahari Agung bertanggungjawab bagi:

(i) Mengutip yuran PABD.
(ii) Menyimpan buku kira-kira dan mengemukakan penyata kira-kira tiap-tiap mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif.
(iii) Menyediakan penyata kira-kira tahunan di akhir tahun kewangan untuk dikemukakan di Mesyuarat Agung.
(iv) Pentadbiran kewangan PABD.
(v) Menjalankan semua arahan Jawatankuasa Eksekutif.

(g) Ahli-ahli Jawatan Eksekutif Biasa – Membantu melaksanakan mana-mana tugas ahli Jawatankuasa Eksekutif yang mempunyai tugas-tugas tertentu dan/atau melaksanakan tugas-tugas lain sebagaimana yang ditentukan oleh Yang Dipertua PABD.


FASAL XIV

Pembentukan Jawatankuasa Kecil dan Jawatankuasa Sementara

1. Jawatankuasa Eksekutif berkuasa untuk menubuhkan Jawatankuasa Kecil/Sementara apabila difikirkan perlu. Jawatankuasa Eksekutif mestilah menentukan tugas-tugas Jawatankuasa Kecil/Sementara ini dan melantik Pengerusi bagi Jawatankuasa tersebut.

2. Pengerusi Jawatnkuasa Kecil/Sementara berkuasa memilih ahli-ahli dari PABD untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kecil/Sementara ini. Jawatankuasa Eksekutif boleh menggantung atau melucutkan ahli-ahli Jawatankuasa Kecil/Sementara ini di atas sebab-sebab yang boleh merosakkan PABD. Jawatankuasa Eksekutif juga berkuasa membubarkan Jawatankuasa Kecil/Sementara ini.

3. Jawatankuasa Kecil/Sementara ini mesti menghantar minit kepada Jawatankuasa Eksekutif selepas tiap-tiap mesyuarat.


FASAL XV

Kewangan

1. Bendahari Agung dibolehkan menyimpan wang runcit yang akan ditetapkan jumlahnya oleh Jawatankuasa Eksekutif dari masa ke semasa, tetapi tidak boleh melebihi B$200.00 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang disetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama PABD.

2. Perbelanjaan yang lebih daripada B$200.00 bagi sesuatu masa mestilah mendapat kelulusan dari Jawatankuasa Eksekutif.

3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua dan Bendahari Agung. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Naib yang Dipertua boleh menandatangani cek bersama-sama Bendahari Agung.


FASAL XVI

Kegiatan/Rancangan/Projek

1. Semua Ahli adalah digalakkan menyertai dalam sebarang aktiviti berpatutan yang telah dibenarkan oleh persetujuan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PABD.

2. Kegiatan/Rancangan/Projek hendaklah mencapai objektif Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam seperti yang tersebut dalam Perlembagan Persatuan.

3. Ahli Persatuan yang bercadang untuk membuat sebarang kegiatan/rancangan/projek hendaklah menghadapkan surat bertulis bersama-sama dengan kertas kerja kepada Setiausaha Agung PABD selewat-lewatnya 4 (empat) minggu sebelum aktiviti diadakan. Permohonan atau cadangan akan dibincangakan dalam Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Agung Khas atau Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif untuk mendapatkan persetujuan.

4. Sebarang kegiatan atau Rancangan atau Projek mestilah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada persetujuan Jawatankuasa Eksekutif PABD.


FASAL XVII

Larangan

1. Ahli PABD dilarang menjalankan sebarang perniagaan dalam premis PABD kecuali dengan kelulusan bersyarat daripada Jawatankuasa Eksekutif.

2. Ahli PABD dilarang menggunakan logo dan segala apa yang ada kaitan dengan PABD untuk kepentingan peribadi.

3. PABD tidak boleh mengadakan pergabungan dengan mana-mana persatuan di dalam dan di luar Negara Brunei Darussalam.


FASAL XVIII

Lucut Hak

1. Pelucutan keahlian akan dibuat sekiranya:

(a) Ahli PABD yang disabit kesalahan dadah.
(b) Ahli PABD yang disabit kesalahan jenayah.
(c) Ahli PABD yang merosakkan atau memudaratkan kesentosaan atau nama baik PABD atau perlembagaan Persatuan.


FASAL XIX

Pindaan Perlembagaan

1. Perlembagaan PABD tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan tidak kurang daripada 2/3 (dua par tiga) dari jumlah Ahli Biasa dan Ahli Kehormat dalam Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil khas mengenainya.

2. Rangka ayat perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada Perlembagaan hendaklah dikemukakan kepada Jawatankuasa Eksekutif PABD melalui Setiausaha Agung PABD 7 (tujuh) hari sebelum Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil khas mengenainya.

3. Yang Dipertua PABD akan membentangkan perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan Perlembagaan kepada mesyuarat tersebut diatas untuk mendapat persetujuan mesyuarat.

4. Perubahan-perubahan atau pindaan-pindaan kepada Perlembagaan PABD hanya boleh dijalankan kuatkuasanya mulai dari tarikh perubahan-perubahan dan pindaan-pindaan itu dibenarkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan.


FASAL XX

Pembubaran

1. PABD ini boleh dibubarkan dengan persetujuan tidak kurang daripada ¾ (tiga perempat) jumlah ahli yang berhak mengundi semasa Mesyuarat Agung khas yang dipanggil khas mengenainya.

2. Sekiranya PABD hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan PABD yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat Agung atau Mesyuarat Agung Khas yang dipanggil khas mengenainya.