BruneiAstronomy
Astronomy & Falak Syarie in Brunei Darussalam

​Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
Pelita Brunei edisi 28 September 2020

TUTONG, Sabtu, 26 September. – Kira-kira 100 ahli Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD) mengadakan acara memerhatikan bulan sempena Malam Memerhati Bulan Sedunia (International Observe the Moon Night – InOMN) di Warisan Puk Balaban, Kampung Bukit Udal, di sini.

Keratan akhbar Malam Memerhati Bulan Sedunia (International Observe the Moon Night) 2020 dalam Pelita Brunei, Jabatan Penerangan, edisi 28 September 2020.

Pelancaran acara tersebut dirasmikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Awang Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, yang juga selaku Naib Presiden PABD.

Ahli Eksekutif PABD, Awang Haji Md. Qawiem bin Haji Md. Jamil berkata, acara tersebut merupakan aktiviti komuniti bagi menggalakkan orang ramai memerhati bulan suku pertama pada malam tersebut.

Menurutnya, ia adalah salah satu masa terbaik untuk memerhatikan bulan kerana pada waktu tersebut, permukaan bulan dapat dilihat dengan jelas berbanding semasa bulan penuh.

“Fokus kami adalah bagi para peserta untuk menyaksikan dan menghargai keindahan langit malam ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala, terutama bagi individu yang menetap di kawasan bandar kerana mereka tidak sentiasa mendapatkan peluang ini,” jelasnya.

Beliau menambah, penyertaan juga dibukakan kepada orang ramai secara ‘walk-in’ bagi menambah minat mereka dalam bidang astronomi.

“Aktiviti utama pada malam ini adalah memerhatikan bulan, tetapi kami juga mengadakan aktiviti kraf dan seni dengan membuat bulan cetak 3D yang memaparkan tekstur dan landskap bulan, juga mengadakan aktiviti teater astronomi,” jelasnya.

Acara ini merupakan aktiviti mendekatkan masyarakat yang diadakan pada setiap tahun untuk menggalakkan pemerhatian, penghayatan dan pemahaman bulan di seluruh dunia. Acara tahunan ini juga bertujuan untuk menyediakan platform pertemuan untuk berinteraksi dalam kalangan ahli astronomi amatur, pendidik dan peminat bulan serta orang ramai di negara ini dan juga di seluruh dunia.

InOMN merupakan acara tahunan yang diadakan pada setiap bulan September atau Oktober. Ia disambut pada setiap tahun sejak 2010 lagi, dan pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya menyertai dunia melalui menganjurkan cerapan awam, di sini.

Beberapa buah teleskop dan binokular disediakan oleh ahli PABD bagi para peserta mencerap bulan, planet, dan objek samawi lain di sepanjang malam. Aktiviti malam tadi juga turut memberikan peserta InOMN peluang melihat landskap pergunungan dan rekahan kawah di sepanjang garisan antara kawasan cahaya dan gelap pada bulan. Ia merupakan pengalaman yang menarik melihat keajaiban sebuah dunia lain bersebelahan dengan bumi ini yang sangat berbeza.

Ahli-ahli PABD berperanan sebagai pemudah cara bagi memberi panduan dan penerangan kepada peserta yang hadir tentang sains dan penerokaan bulan, dan juga berkongsi tentang pengalaman budaya masyarakat di negara ini yang telah dipengaruhi oleh bulan, seperti aktiviti penglihatan bulan baharu dalam menentukan permulaan awal bulan Hijrah.

Terdapat lebih daripada 1,800 acara pencerapan bulan turut berlangsung pada malam tersebut bersempena InOMN yang dianjurkan oleh pelbagai organisasi secara dalam talian dan fizikal di seluruh dunia.

Tarikh sambutan yang akan datang untuk InOMN adalah pada 16 Oktober 2021 dan 1 Oktober 2022.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.