Tidak Lepas Peluang Saksi Gerhana Matahari Separa

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
Foto : Hamzah Mohidin
Pelita Brunei Edisi Isnin 22 Jun 2020

KIARONG, Ahad, 21 Jun. – Kejadian gerhana merupakan antara tanda-tanda kebesaran
Allah Subhanahu Wata’ala yang mentadbir seluruh alam.

Di samping itu, gerhana juga adalah satu ibadat kerana kita dianjurkan melakukan
perkara-perkara yang berkebajikan, bersyukur atas kurnia itu dengan melakukan sembahyang, bersedekah, berzikir, berdoa serta menjauhkan daripada melakukan perkara-perkara mungkar, maksiat serta perbuatan syirik.

Pada hari ini, penduduk Negara Brunei Darussalam berpeluang untuk menyaksikan
gerhana matahari separa. Peristiwa astronomi ini bermula pada jam 3.10 petang dan berakhir pada jam 5.23 petang. Gerhana matahari berlaku apabila bulan berada sejajar di antara matahari dan bumi. Semasa gerhana separa, cakera bulan tidak akan meliputi matahari sepenuhnya.

Sesi pencerapan gerhana petang tadi diadakan di kediaman Awang Haji Azri bin Haji Ibrahim, ahli Persatuan Astronomi Negara Brunei Darussalam (PABD).

Fenomena gerhana matahari separa itu berlangsung selama 2 jam 13 minit, di mana
sepanjang fenomena ini, bulan akan menutupi sebahagian kecil matahari. Ketika puncak
gerhana, iaitu pada jam 4.22 petang, hampir 28 peratus matahari akan ditutupi oleh bulan.

Orang ramai yang ingin melihat fenomena ini, adalah dinasihatkan agar tidak melihat matahari secara terus. Beberapa kaedah yang selamat untuk melihat matahari, antaranya dengan menggunakan kaca mata kimpalan (welding glass) nombor 14, penapis suria dan projeksi dengan teleskop.

Bersempena dengan fenomena ini, PABD dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menganjurkan perbincangan secara dalam talian melalui Facebook Live, yang bertajuk, ‘Bincang Santai Astronomi : Fenomena
Gerhana Matahari’.

Sesi pencerapan gerhana matahari juga dibawakan secara langsung dalam talian dari
beberapa buah lokasi terpilih di keempat-empat daerah oleh PABD.

Penganjuran program tersebut di negara ini juga merupakan kolaborasi projek ‘MY-East
Asia Universe Awareness Solar Eclipse (MY-EAUNIVASE)’ dan di bawah jaringan kerjasama ‘International Astronomical Union (IAU) National Outreach Coordinator’ yang melibatkan sembilan buah negara di Asia Timur.

Fenomena yang sama juga dijangka akan berlaku lagi di negara ini pada Khamis,
20 April 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.